Thursday, 17 January 2019

JKSTR Tetapkan KPI Selesaikan Kes Perbicaraan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTF) menetapkan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebagai  sistem petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menyelesaikan kes perbicaraan di Mahkamah Syariah Terengganu.  

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd berkata, jika melebihi tempoh itu,  hakim syarie yang bertanggungjawab perlu memberi perjelasan secara bertulis.

Katanya, beberapa langkah perlu diambil kira jika mahu tempoh itu ditepati oleh hakim  yang bertanggungjawab agar tidak dibebani dengan pelbagai perkara yang remeh dan setiap kes perlu dibicarakan sebaik-baiknya dan betul-betul bersedia.

“Kebiasaannya  perjalanan kes perbicaraan yang berlarutan sehingga dua hingga tiga tahun,  hakim perlu mengambil tahu pelbagai perkara, termasuk surat saman  sudah diterima pesalah atau sebaliknya.


“Pada masa sama, pesalah  enggan memberi kerjasama, selain pengadu gagal membawa saksi yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali  Bersama Ketua Hakim Syarie di Bilik Mesyuarat JKSTR, petang semalam.

Wan Mohd Zakri berkata, pihaknya  ada merancang untuk melihat secara keseluruhan bentuk hukuman dan jumlah denda yang bakal dikenakan bertujuan mengelak pesalah melakukan jenayah syariah yang sama.

Katanya, hukuman itu bukan sahaja untuk melanjutkan tempoh dipenjarakan malah jumlah sebatan yang perlu dikaji.

“Pihak kami mengakui hukuman sedia ada yang dikenakan terhadap pesalah syariah agak ringan sehingga mendorong pesalah melakukan kesalahan sama.


“Sebaliknya, apabila kami mengambil tindakan tegas dengan mengenakan  hukuman sebat terhadap seorang janda atas kesalahan melancurkan diri baru-baru ini, ada segelintir individu menyatakan hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Bagaimanapun situasi itu tidak menjejaskan reputasi kami dalam menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan terhadap pesalah, “ katanya.

Menurutnya, pada masa sama, dia menyokong dan  perlu dipercepatkan hukuman di bawah Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“Saya lihat hukuman yang ditetapkan di bawah RUU 355 sangat memadai dengan setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: