Sunday, 27 January 2019

Jasnita Bawa Impak Kepada Wanita

SHARE

KUALA TERENGGANU, 27 Januari  - Pelancaran Jaringan Badan Bukan Kerajaan Wanita atau ringkasannya Jasnita, bakal membawa  impak dalam menangani isu-isu wanita di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ianya memberi rangsangan yang baik kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita sedia ada.

“Pertubuhan MyHawa Malaysia telah pun mengorak langkah untuk mengadakan dan menghimpunkan kesemua NGO wanita yang berkaitan dalam jaringan tersebut.

“Insya-Allah  dengan kekuatan (dalam) itu bakal memberi impak yang besar dan mudah–mudahan segala isu yang berkaitan dengan keluarga, wanita dan hak–hak mereka akan diperjuangkan oleh NGO berkaitan dengan wanita ataupun Jasnita,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Hi Tea dan Pelancaran Gabungan NGO Wanita di Permai Hotel semalam.

Sehubungan itu katanya, NGO perlu memainkan peranan  penting sebagai sokongan terhadap usaha yang sedang dan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Isu–isu yang berkaitan dengan wanita terlalu banyak di dalam negeri ataupun negara kita dan sudah tentulah ianya menuntut kepada suatu perjuangan ataupun usaha yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak.

“Pihak kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal wanita dengan mengurus dan juga melengkapkan keperluan, sebagai salah satu daripada entiti rakyat yang terpenting di dalam sesebuah kerajaan," ujarnya.


Oleh itu, beliau berkata, pasti ada perkara yang terlepas pandang di dalam usaha kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Pada waktu itulah kata beliau, NGO perlu memainkan peranan memperjuangkan perkara tersebut yang menjadi kepentingan kepada golongan wanita terbabit.

Justeru itu, beliau berbesar hati dan menegaskan bahawa para wanita boleh bangkit di khalayak umum untuk memperjuangkan hak mereka.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada MyHawa iaitu sebuah NGO yang telah ditubuhkan di peringkat nasional dan berperanan untuk menggabungkan NGO wanita yang ada di seluruh negara kita ini,” tambah beliau.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: