Wednesday, 16 January 2019

Jambatan Sri Bayas Akan Dibina Jun Ini

SHARE

Oleh: Abd Muhaimin Muhammed

SETIU, 15 Januari - Pembinaan Jambatan Kampung Sri Bayas, di sini sepanjang 100 meter dan jalan raya sejauh satu kilometer yang membabitkan peruntukan RM10 juta dijangka akan mula dibina selewat-lewatnya Jun ini.


Menurut Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, jambatan tersebut sudah diluluskan dalam pembentangan Dewan Negara baru-baru ini di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Katanya, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) turun melawat tapak jambatan itu bertujuan untuk mereka bentuk pelan, mengenal pasti kesesuaian lokasi, keluasan dan ketinggian jambatan sebelum dapat dibina paling lewat Jun ini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak terlibat kerana telah menyenaraikan jambatan itu sebagai projek terdesak dan akan dibina dalam  tempoh terdekat,” katanya selepas Lawatan Kerja Meninjau Tapak Jambatan bersama JKR, hari ini.

Sementara itu, menurut Jurutera JKR Daerah Setiu, Wan Zaid Sulong berkata, pihaknya akan melihat keadaan fizikal lokasi dan akan mula mereka bentuk pelan jambatan dan jalan tuju yang akan dibina.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen Setiu yang telah berusaha bagi merealisasikan pembinaan jambatan baharu ini yang telah sekian lama dibuat permohonan,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: