Sunday, 20 January 2019

Jaga Kebersihan Rumah, Kampung Bagi Elak Wabak Denggi

SHARE
 Sebahagian MPKK Mengabang Tengah Hilir sedang melakukan gotong royong menurap jalan yang berlubang bagi mengelakkan takungan air.
Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Penduduk kampung terutama di kawasan yang mempunyai risiko kes wabak denggi digesa mengambil inisiatif menjaga kebersihan kawasan rumah dan kejiranan mereka.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mengabang Tengah Hilir, Azhari Ngah berkata, penularan wabak denggi dapat diatasi sekiranya penduduk kampung mempunyai kesedaran mengekalkan kebersihan sekitar kawasan kediaman.

Jelasnya, kesedaran penduduk tentang bagaimana wabak denggi tersebar ke serata tempat yang dikatakan berpunca daripada ketidakcaknaan terhadap kebersihan perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian.

“Isu kebersihan persekitaran rumah dan kampung perlu ditangani secara bersama untuk menjamin persekitaran bebas daripada pembiakan nyamuk aedes, seterusnya dapat mencegah demam denggi.

“Masalah kebersihan tidak akan selesai atau berjaya sekiranya hanya kelompok atau individu sahaja yang menjaga kebersihan halaman dan rumah mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis gotong royong, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, ahli jawatankuasa MPKK Mengabang Tengah Hilir dan masyarakat setempat.

Azhari berkata, program yang dijalankan  bukan sahaja menyahut seruan kerajaan yang menjadikan kebersihan sebagai salah satu amalan seharian tetapi juga untuk mencetuskan kesedaran masyarakat tentang bahaya penularan wabak denggi.

"Program gotong-royong kubur dan kawasan rumah penduduk disarankan diadakan setiap bulan agar kebersihan kampung terjaga seterusnya membantu mengurangkan masalah wabak seperti denggi.

"Alhamdulillah, ramai yang turun untuk bersama-sama berganding bahu membersihkan kawasan kerana MPKK Tengah Hilir termasuk dalam kawasan yang aktif denggi. Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai program sebegini akan diteruskan lagi untuk akan datang, bukan hanya bersih, tapi juga mengeratkan ukhuwah sesama penduduk,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: