Thursday, 10 January 2019

Isu Peruntukan SMPC : Rakyat Tuntut Keadilan

SHARE
Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir.
KUALA TERENGGANU, 10 Januari -Peruntukan RM25 juta yang disalurkan kepada 228 sekolah pondok dan sekolah agama rakyat yang berdaftar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat cuba mengalih perhatian rakyat kepada pengagihan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sehari sebelum peruntukan ini.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata isu pemberian peruntukan kepada SMPC masih lagi menjadi tanda tanda kepada rakyat kerana pemberian berjumlah RM12 juta hanyalah bagi 61 buah sekolah SMPC di seluruh negara sedangkan peruntukan RM25 juta diagihkan kepada 228 buah sekolah pondok berdaftar.

“Purata bagi sebuah sekolah SMPC adalah berjumlah RM200,000 manakala purata bagi sebuah sekolah pondok berdaftar adalah sebanyak RM88,000 sahaja.

“Ironinya, SMPC adalah sebuah sekolah persendirian yang mewah malah pernah berikrar tidak akan menerima apa-apa bantuan kewangan daripada kerajaan ekoran arahan kerajaan untuk menukar status sekolah tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini, hari ini.

Shaharizukirnain berkata, peruntukan ini juga dilihat sebagai salah satu komitmen kerajaan bagi mengiktiraf lulusan atau graduan dari SMPC yang ingin mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang merupakan Sijil Sekolah Swasta di bawah  Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong).

“Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan guru-guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Memberikan wang kepada sekolah yang menggunakan sistem UEC sebagai sijil peperiksaan adalah salah satu sokongan kerajaan terhadap perkara tersebut,” katanya lagi.

Menurutnya, sebelum ini Menteri Pendidikan menyatakan bahawa peruntukan kerajaan kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan dan ianya bergantung kepada prestasi ekonomi negara.

“Ironinya, peruntukan bagi pembinaan sekolah-sekolah tahfiz ditangguhkan seperti projek menaik taraf bangunan tambahan Sekolah Agama Rakyat Saadatul Darain dan juga projek pembinaan kelas kafa Masjid Kampung Sekolah Juru dengan memberi alasan kewangan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan projek-projek yang telah diluluskan peruntukannya oleh kerajaan lama ditangguhkan.

“Justeru itu, rakyat tertanya-tanya di mana keadilan kerajaan dalam memberi bantuan pendidikan kepada rakyat. Sekolah persendirian Cina dimajukan, walau bagaimanapun, sekolah-sekolah persendirian yang memartabatkan bahasa ibunda ditinggalkan. Kerajaan seakan-akan seperti ‘anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” kata beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: