Thursday, 10 January 2019

Imarahkan Masjid Tanggungjawab Bersama

SHARE
Foto - Hanif
HULU TERENGGANU, 10 Januari - Kehebatan sesebuah masjid bukan sahaja bergantung kepada seni bina semata-mata tetapi sejauh mana tahap pengimarahannya dalam membina masyarakat cemerlang dari sudut akhlak dan pekertinya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, masjid adalah antara tempat yang paling suci bagi umat Islam dan juga lambang kemajuan dan perpaduan umat Islam tanpa mengira kedudukan, warna kulit mahupun keturunan.

“Masjid sebagai pusat penghayatan cara hidup Islam di peringkat masyarakat. Ia perlu diimarahkan sebagai tempat persepakatan komuniti untuk menjana kekuatan umat dari segi hubungan dengan Allah, intelektual, ukhuwah, ekonomi, jaringan sosial, kebajikan, gerakan sivil dan banyak lagi.

“Kesemuanya itu bertujuan untuk menzahirkan cara hidup Islam yang syumul oleh komuniti setempat, dengan itu keindahan Islam itu bukan lagi berada di dalam hati Mukmin, tetapi dapat dilihat oleh masyarakat bukan Islam,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Penyerahan Projek Merekabentuk, Membina Dan Menyiapkan Sebuah Masjid di Kampung Kuala Kejir dan Kampung Tanggol, Kuala Berang, di sini hari ini.
Gimik penyerahan masjid daripada kontraktor kepada Jurutera Daerah sambil disaksikan oleh Dr Mamad Puteh dan Pegawai Agama Daerah.
Tambahnya lagi, memakmurkan masjid bererti mengisi masjid dengan ibadah-ibadah yang bermanfaat bagi diri sendiri dan juga masyarakat, seperti solat berjama’ah, mengadakan majlis ilmu dan tazkirah, membaca al-Quran dan buku-buku yang bermanfaat dan sebagainya.

“Masyarakat setempat boleh mengusahakan apa sahaja perkara yang boleh menjadikan masjid selesa untuk didatangi dan digunakan, sehingga pada akhirnya masjid merupakan tempat yang disukai untuk dikunjungi oleh umat Islam.

“Dan saya penuh yakin dan percaya jika usaha-usaha untuk mengimarahkan rumah Allah ini dimulakan dengan niat tulus suci dan murni, saya percaya Allah akan melorongkan kepada jalan yang lebih luas  dan mudah serta dilimpahkan rahmat-Nya kepada mereka kerana berjuang di jalan-Nya,” kata Dr. Mamad.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: