Sunday, 20 January 2019

i-MiTS Mata Dan Telinga Kerajaan Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri ketika berucap melancarkan i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) adalah sebagai agen penggerak dan penyebar dasar kerajaan di seluruh negeri Terengganu.

Justeru segala visi dan misi i-MiTS seharusnya dilaksanakan kakitangannya secara kolektif di semua peringkat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, i-MiTS merupakan agen penggerak yang akan menyebarluaskan dan menerapkan dasar Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera kepada seluruh rakyat negeri Terengganu.

"Dasar-dasar kerajaan negeri harus juga difahami dengan sepenuhnya oleh jentera i-MiTS, menjadi penyampai dan ajen penerangan kepada rakyat berkait dengan program dan aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan," jelasnya.
Dr Ahmad Samsuri (kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran logo i-MiTS di Dewan Besar Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai-pegawai tinggi kerajaan, Pengarah i-MiTS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.

Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menempatkan kakitangan i-MiTS di seluruh Pusat Khidmat DUN untuk menjadi kaki dan tangan serta mata dan telinga bagi mendengar segala keluhan dan keperluan rakyat di peringkat bawah.

"Seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap apa jua permasalahan yang diajukan oleh mereka. Peranan utama i-MiTS sebagaimana yang dibentangkan oleh Pengarah i-MiTS sangat jelas kepada kita.

"Iaitu sebagai pembina modal insan (membina manusia) bukan membina bangunan atau persatuan semata-mata," ujarnya.
Kehadiran sempena Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar Wisma Darul Iman baru-baru ini. 
Katanya, sebanyak 395 program dilaksanakan melibatkan lebih 171,000 rakyat negeri Terengganu yang telah disantuni oleh seluruh jentera i-MiTS dari Wisma Darul Iman sehingga ke seluruh DUN.

Menurut beliau, pembangunan modal insan merupakan satu perkara asas dalam apa jua pembinaan mana-mana tamadun.

"Membaca Kitab 'Al-Muqaddimah' karangan Ibnu Khaldun yang juga dikaji oleh para pengkaji dari negara Barat, pakar-pakar sosiologi dan 'government' di negara Barat telah menjadikan Kitab Al-Muqaddimah ini sebagai teras yang telah diperincikan oleh Ibnu Khaldun," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, kepentingan pembinaan manusia (Human Capital) sebagai teras yang sangat penting dalam membentuk sebuah ketamadunan apa lagi dalam konteks sebuah kerajaan sama ada di peringkat Kerajaaan Pusat ataupun kerajaan negeri sehingga sampai ke peringkat DUN tidak diambil kira oleh Barat.

Ini termasuklah teras ibadah, khilafah dan amanah sebagaimana dijelaskan oleh ulama tersohor dari India, Abu Hasan Ali An-Nadawi.

Tambahnya, membangunkan modal insan adalah suatu asas yang sangat penting yang akan menimbulkan keharmonian yang tercipta daripada kefahaman yang jelas dengan objektif i-MiTS.

"Fikrah Islam ini haruslah diresapkan ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat negeri Terengganu agar kita mampu mempunyai rakyat bersifat 'abid' (hamba kepada Allah) dan juga sifat khalifah (pemimpin di dunia)," ujarnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: