Wednesday, 23 January 2019

Hutang Wajib Bayar, Janji Juga Wajib Ditunaikan

SHARE

SETIU,23 Januari- Kerajaan diminta agar tidak hanya mengeluarkan kenyataan supaya rakyat menyelesaikan hutang malah mencari jalan bagi menunaikan manifesto yang dijanjikan bagi meringankan beban rakyat.

Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, sebelum ini, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menabur janji akan menghapuskan hutang peneroka dalam tempoh 100 hari pemerintahan namun begitu, ianya tidak dilaksanakan disebabkan oleh alasan kedudukan kewangan.

“Rakyat telah jemu mendengar permasalahan berkaitan dengan hutang sebaliknya rakyat meminta kerajaan menunaikan janji.

“Kerajaan PH telah mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan menghapuskan semua hutang peneroka felda, malah mereka yang berhutang wajib membayar hutang,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkenaan hutang wajib dibayar seolah-olah mencerminkan kerajaan tidak sedar bahawa janji juga patut ditunaikan.

“Nasib peneroka felda tidak hanya dibebani dengan hutang penanaman semula sawit, mereka juga dibebani dengan harga komoditi sawit yang semakin menjunam.

“Sehingga hari ini, harga komoditi sawit jatuh daripada kira-kira RM 2,400 setan kepada RM 2,057 setan disebabkan oleh penurunan permintaan getah Malaysia,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: