Saturday, 19 January 2019

Hakisan Pantai Bari Kecil Dapat Perhatian Kerajaan

SHARE

Oleh: Dzakaria Mohd Salleh

SETIU, 19 Januari - Kebimbangan penduduk terhadap hakisan pantai di Kampung Bari Kecil, Permaisuri mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu.

Kunjungan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir ke pesisir pantai tersebut Selasa lalu, memperlihatkan keadaan pantai yang semakin teruk terhakis.

"Banyak pokok-pokok didapati tumbang akibat hakisan pantai.


"Saya juga dimaklumkan tandas yang dibina Majlis Daerah Setiu (MDS) di sini sudah terhakis dan tidak kelihatan lagi," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Beliau yang diiringi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A. Rahman dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bari Kecil menyatakan komitmen menyampaikan aduan ke agensi terbabit iaitu Jabatan Parit dan Saliran (JPS) untuk membuat pemantauan.

"Kita akan mengetengahkan hal ini dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah Setiu yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk kita selesaikan permasalahan yang berlaku," katanya.

Sementara itu Pengerusi MPKK Bari Kecil, Omar Abdul Rahman turut gusar dengan hakisan di pantai mereka yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Buat masa ini, pokok Rhu yang ditanam oleh Jabatan Perhutanan Malaysia, satu wakaf (pondok) awam dan satu lagi wakaf milik Majlis Daerah di kawasan ini telah tumbang dan runtuh disapu ombak," katanya sambil berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: