Monday, 21 January 2019

Hadapi Cabaran Ramuan Kejayaan Ku Din

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 21 Januari - Cabaran dan kesusahan tidak menghalang Tengku Zainuddin Tengku Hassan, 42, atau lebih dikenali sebagai Ku Din mengorak langkah dalam perniagaan yang diusahakannya.

Pemilik bengkel membaiki kereta Ku Din Wiring itu berkata, ia kerana cabaran mendatang adalah perkara baharu yang belum pernah dialami dan perlu dipelajari.

"Kita mestilah bersedia menghadapi cabaran di masa akan datang.

“Kita perlu berani menghadapinya dan bukan anggap ia sebagai beban.

"Tetapi, pastikan kena ada juga orang di belakang yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan mendorong kita untuk ke depan," nasihatnya ketika ditemui Urusetia Darul Iman (UPDI) selepas perasmian bangunan ‘Ku Din Wiring’ di Kampung Gong Pasir, Jumaat lalu.

Bapa kepada enam anak itu, merupakan seorang mekanik yang berjaya dan sudah tidak asing lagi di daerah Dungun.

"Saya baiki kereta sudah dua puluh tahun dan mempunyai perniagaan sendiri sejak sepuluh tahun  yang lepas dengan menyewa bangunan sebagai tapak bengkel,” katanya.


Bangunan dua tingkat itu yang menempatkan bengkel membaiki kereta di bahagian bawah dan ruangan pejabat di bahagian atasnya telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.

Mengagumi usaha Ku Din, Wan Hassan  mengajak orang ramai  terus membantu  dan menyokong usahawan Muslim.

"Usahawan Muslim perlu dibantu oleh pengguna Muslim agar dapat mengukuhkan lagi ekonomi umat Islam itu sendiri,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: