Thursday, 31 January 2019

Gotong-Royong Perdana Eratkan Hubungan

SHARE

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 31 Januari- Gotong-royong merupakan antara pendekatan terbaik untuk mengeratkan hubungan antara penduduk kampung dan jabatan kerajaan.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, selain bertindak sebagai platform untuk mengeratkan hubungan, program gotong-royong juga perlu diadakan bagi memastikan kebersihan kampung sentiasa terjaga.

"Gotong-royong seperti ini perlu kerap diadakan bagi menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan kampung selari dengan slogan Kerajaan Negeri Terengganu, iaitu ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.

"Saya berasa sukacita kerana program ini mendapat sambutan dan kerjasama yang menggalakkan daripada penduduk kampung serta jabatan-jabatan kerajaan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program Gotong-royong Perdana Mukim Bukit Puteri yang disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Siti Mariam Hamid di Dewan Serbaguna Kampung Denger, hari ini.

Turut hadir, Penghulu Mukim Bukit Puteri, Hatta Hassan dan Pegawai Khas Penyelaras DUN Kuala Besut, Mohd Sulaiman.

Katanya, selain penduduk kampung, antara jabatan kerajaan yang menyertai program gotong-royong itu termasuk kakitangan Pejabat Daerah Besut, Majlis Daerah Besut, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak serta anggota RELA.


Sementara itu, Siti Mariam berkata, program tersebut perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia sangat memberi manfaat kepada rakyat.

“Di antara aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong membersih kawasan kubur, mencuci kawasan masjid, membaiki rumah penduduk yang uzur dan memotong rumput di sekitar kampung-kampung di Mukim Bukit Puteri yang banyak memberi kebaikan kepada penduduk terutamanya yang uzur,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: