Thursday, 31 January 2019

Dua Beradik Johan Majlis Menghafaz Al-Quran Terengganu 2019

SHARE
Zulhilmi menerima piala kemenangan daripada Satiful Bahri sambil diperhatikan Mohd Nor.
KEMAMAN, 31Januari - Pasangan adik-beradik, Muhammad Zulhilmi Ab Rahman, 20, dan Radhiah Ab Rahman, 24, mendominasi Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2019 apabila kedua-duanya dinobatkan sebagai johan kategori 1 hingga 30 juzuk.

Majlis berkenaan berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman selama tiga hari dan menampilkan 26 peserta dalam tiga kategori iaitu 1 hingga 10 juzuk, 1 hingga 20 juzuk dan 1 hingga 30 juzuk.

Kemenangan tersebut menyaksikan Zulhilmi dan Radhiah masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, piala beserta sijil yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Dididik mencintai al-Quran, Zulhilmi merakamkan terima kasih kepada kedua ibu bapa dan sahabat-sahabat yang mendoakan dan menyokongnya.
Radhiah turut raih gelaran johan seperti adiknya.
"Saya tidak sangka menjadi johan kerana mengalami masalah ketika menjawab soalan tafsir," katanya ketika ditemubual TV Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Radhiah turut menyampaikan pesan kepada anak-anak muda yang ingin menghafaz al-Quran.

"Usaha semampunya dan serahkan hasilnya kepada Allah SWT.

"Manfaatkan masa belajar dengan berusaha bersungguh-sungguh. Akan ada suatu masa nanti kita tidak berkesempatan untuk belajar, jadi manfaatkan masa ini," katanya.

Bapa mereka, Ab Rahman Ab Jalil, 65, yang turut hadir menyaksikan kemenangan tersebut berkata, amalan mengajar setiap pagi menarik minat anak-anaknya mendalami al-Quran.

Pengasas Madrasah ad-Diniah Jaliliah yang terletak di Kampung Bemban, Dungun itu mempunyai 24 orang anak dan hampir kesemuanya menghafaz al-Quran.

"Saya hanya berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Saya berharap anak-anak saya dapat terus berdakwah dengan kelebihan yang dikurniakan kepada mereka," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Kedua-dua johan bersama ibu bapa mereka.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: