Wednesday, 16 January 2019

DITC Perkukuh Modal Insan

SHARE

Oleh: Muhammad Husaif Mamat

KEMAMAN, 15 Januari -  Kerajaan negeri akan terus mem­perkukuhkan pembangunan modal insan melalui Darul Iman Training Centre (DITC) bagi memastikan kelangsungan negeri dalam aspek pentadbiran, ekonomi dan sosial lebih terjamin pada masa depan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, DITC yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pupuk Semangat Negeri Terengganu (Pupuk) akan terus diperkasa sebagai pusat latihan berimpak tinggi.

Jelasnya lagi, DITC juga mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia merupakan satu-satunya pusat latihan yang berkonsepkan hotel dan juga digabungkan dengan persekitaran yang cantik.

"Ianya bertepatan dengan peranan yang dimainkan oleh DITC yang dilihat mempunyai pelbagai komponen yang merangkumi pelbagai aspek.

"Aspek pendidikan, pembinaan modal insan dan latihan modal insan adalah suatu perkara yang sangat penting dan diberi penekanan serius oleh kerajaan negeri yang ada pada hari ini untuk menyediakan anggota masyarakat dan warga negeri Terengganu bagi turut sama membangunkan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di DITC, Teluk Kalong, di sini, hari ini .

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman,

Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Kemaman, Alias Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Abdul Razak Ibrahim, ADUN Batu Burok, Abdul Khalil Abdul Hadi serta ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi .

Untuk rekod, peranan yang dimainkan oleh DITC sangat besar kerana bukan sahaja berperanan membangunkan modal insan tetapi juga sebagai tempat pembelajaran sepanjang hayat.

Pada asalnya, Pupuk (kini DITC) hanya memiliki beberapa unit bangunan kecil yang menempatkan kediaman peserta kursus, dewan, surau dan kemudahan riadah.

Namun, kemudahan itu dibina semula dengan berkonsepkan kediaman ala resort dan hotel serta fasiliti serta penginapan setanding dengan hotel-hotel bertaraf lima bintang.

Ditambah pula dengan persekitaran yang damai, DITC sememangnya menjanjikan kelainan kepada peserta kursus dan orang awam yang mahu menginap di sini.

Bagi yang menyukai aktiviti 'jungle tracking' pula, di sebelah belakang DITC bukit dan hutan yang menghijau menjanjikan pengalaman berbeza untuk penggemar aktiviti pendakian dan aktiviti lasak.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: