Thursday, 17 January 2019

Diskaun Harga Tiket Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir Jun Ini

SHARE

HULU TERENGGANU, 17 januari - Kerajaan negeri bersedia mengambil langkah proaktif mempromosikan Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) bukan hanya sebagai pusat perlindungan malah satu tarikan pelancongan di Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bagi mempopularkan lagi KEVC, Minggu Konservasi Gajah akan diadakan pada pertengahan Jun ini.

Katanya, ia akan diadakan selama seminggu dengan pelbagai acara yang menarik termasuk memberi tawaran diskaun harga tiket kepada mereka yang berkunjung ke KECV.

"Salah satunya, kita bersetuju untuk menurunkan harga tiket supaya ia dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke sini.

"Kita akan berbincang dengan pihak pengurusan KECV untuk meletakkan kos tiket yang mampu dibayar oleh mereka yang datang berkunjung di samping mempergiatkan promosi lain dan beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan," kata Ariffin.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke KECV, Tasik Kenyir, di sini, hari ini.

Ariffin berkata, dengan penurunan harga tiket dan pelbagai promosi yang dijalankan diharapkan mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke KECV dari 15,000 orang pada tahun lepas kepada 25,000 orang pada tahun ini.

"Saya yakin dengan tawaran promosi yang dibuat mampu meningkatkan kuantiti pelancong ke KECV ini dan termasuklah peranan pihak media dalam mempromosikannya melalui hebahan mereka.

"Kita juga akan kaji balik harga tiket yang sesuai bagi memenuhi hasrat pelancong yang mahukan harga yang lebih murah daripada yang dikenakan sekarang iaitu RM40 untuk golongan dewasa (warga emas secara percuma), RM20 bagi pelajar sekolah menengah dan RM10 untuk pelajar sekolah rendah," katanya lagi.


Mengulas mengenai isu gajah liar, Ariffin berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Perhilitan untuk memastikan ia tidak menjejaskan tanaman milik penduduk.

"Sebenarnya kita ada pihak Perhilitan yang menguruskan gajah-gajah liar ini sama ada hendak meletakkan gajah yang ditangkap di KECV atau di mana yang sesuai.

"Namun pihak kerajaan terutama pihak pelancongan alu-alukan di KECV dahulu dan kemudian kita akan tengok balik keserasiannya," ujarnya lagi.


Untuk rekod, kewujudan KECV bermula pada 2012 apabila kerajaan negeri meluluskan rezab tanah seluas 256 hektar untuk dijadikan pusat konservasi dengan menempatkan 18 ekor gajah.

Sehingga kini 12.8 hektar kawasan sudah dibangunkan di KECV ini termasuk pembinaan jambatan gantung sejauh 600 meter, tujuh menara, 30 kandang, masing-masing satu bangunan penginapan penjaga gajah (mohuk), restoran tepi sungai, surau, tandas, kafe dan bangunan pengurusan serta dua stor makanan.

Kemudahan lain iaitu 200 petak parkir kereta, 300 parkir motosikal dan 20 parkir bas turut disediakan kepada pengunjung KECV.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: