Wednesday, 16 January 2019

Di Sebalik Lunak Alunan Azan

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 16 Januari - Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa bilal yang lunak mengalunkan azan di Masjid An Naim sebenarnya seorang yang hampir hilang penglihatan.

Zakaria Yaakub, 62, yang bertugas sebagai bilal di masjid tersebut sejak lapan tahun lalu telah kehilangan penglihatan mata kanan manakala sebelah lagi kabur.

Isterinya, Khadijah Hashim kini terpaksa memandu untuk menghantar suaminya ke masjid setiap kali tiba giliran bertugas sebagai bilal.

"Dah tiga tahun mata sebelah kanan suami mak cik tidak nampak. Giliran pak cik bertugas pada setiap Selasa dan Rabu dan mak ciklah yang hantar dia," katanya.

Menurut Khadijah, Zakaria yang lebih dikenali sebagai Pok Bakar juga mengajar al-Quran di rumah dan pandai mengurut.

"Kalau orang nak berurut, mak ciklah yang hantar dia ke rumah orang tu, lepas tu mak cik ambil," kata Khadijah yang juga pandai mengurut setelah belajar dengan suaminya.


Sementara itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Kemasyarakatan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rantau Abang, Muhammad Muaz Anuar berkata, beliau bersimpati dengan keadaan Pok Bakar. Pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan bantuan menerusi Tabung Darul Iman memandangkan warga emas itu turut menghidap penyakit kencing manis kronik.

Katanya, banyak peruntukan yang  disalurkan oleh agensi kerajaan kepada yang berhak tidak diketahui ramai kerana kurang mendapat maklumat.

"Seperti Tabung Darul Iman (TDI), Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

"Ada yang sepatutnya layak, misalnya kena potong jari dikira kencing manis kronik, jadi dia layak memohon Tabung Darul Iman. Datanglah ke pejabat i-MiTS, kita akan bantu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat i-MiTS Rantau Abang, kelmarin.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: