Tuesday, 29 January 2019

Buku Orang Terengganu, Kisah Lalu, Kini Dan Masa Depan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Hampir 10 tahun mendambakan diri dalam menghasilkan sebuah karya yang memayungi landskap kehidupan orang Terengganu, akhirnya Buku Orang Terengganu, Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju siap sepenuhnya.

Penulis dan penyuntingnya, Prof. Dato' Muhammad Abu Bakar berkata, naskhah itu mencakupi berbagai sudut  sejarah, sosiologi dan menyentuh masa lalu, masa kini dan masa depan bagi menyediakan satu warisan yang boleh dikongsi bersama generasi sekarang sekali gus mewujudkan rasa kekitaan yang sihat.

“Saya ingin menjadikan buku ini sebagai mini ensiklopedia kepada rujukan untuk sejarah Terengganu termasuk berkongsi warisan yang boleh dikongsi bersama dengan generasi sekarang menerusi perbekalan kisah dan kenangan yang mampu memupuk nostalgia.

“Penulisan ini juga bertujuan untuk merakam penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang kepada pembangunan negeri ini…bukan sedikit daripada mereka yang telah dilupai atau dilenyapkan daripada ingatan atas pelbagai sebab,” ujarnya

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Buku Orang Terengganu, Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju di Dewan Serbaguna, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ustaz Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed.

Buku yang mempunyai 484 halaman ini dijual dengan harga RM80 setiap satu mempunyai hampir 60 entri yang disumbangkan oleh 25 pengarang yang berlainan.

Mengulas masa yang terlalu lama diambil menyiapkan buku itu, Mohammad berkata persediaan yang mencukupi perlu dibuat dari aspek bagaimana mendekati soalan, bagaimana menggayakan isu yang dihadapi dan bagaimana untuk menghidupkan cerita yang dimaksudkan itu.

“Oleh itu, kita perlu menstrukturkan tulisan berkenaan dan itu yang memakan masa. Kemudiannya untuk melebar luaskan sumbangan yang seharusnya diserap dalam buku berkenaan… untuk itu kita perlu mencari orangnya dengan kepakarannya, mencari tokoh yang wajar diserap sama ada yang telah mati atau masih hidup tetapi tidak lagi aktif atau sebaliknya.

“Kita perlu memastikan tulisan yang belum ada diadakan, dari segi penterjemahannnya, penggarapan nilai-nilainya termasuk buku-buku lain dan sebagainya… itu yang memakan masa yang lama untuk menyiapkannya,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga berdepan dengan cabaran getir untuk melengkapi buku ini dalam beberapa perkara termasuk mendapat persetujuan untuk  sama-sama berkongsi bahan dalam projek ini.

“Setelah menerima sumbangan dalam bentuk pemikiran, sebahagian dari mereka tidak mempunyai artikel atau rencana yang sedia lengkap tetapi berselera dan masalahnya bagaimana hendak tangani bahan yang berselerak untuk diadunkan sebagai artikel mantap yang mampu dijadikan entri tersendiri.

“Saya juga berdepan dengan realiti hak cipta, bagaimana nak menyaring tulisan orang lain tanpa mendapat hak ciptanya, dan apa yang kita lakukan…mengguna bahan dengan persetujuannya dan menzahirkan tulisan baru dari sudut yang berlainan dan bukan ciplak bahan orang lain,”katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: