Tuesday, 29 January 2019

Buku Orang Terengganu Jadi Sumber Rujukan Sejarah

SHARE

Oleh: Najib

KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Buku 'Orang Terengganu' mampu menjadi panduan dan rujukan kepada mereka yang berhasrat mengenali negeri itu lebih mendalam, bukan sahaja warga tempatan bahkan di seluruh pelusuk dunia yang mahu mengenali negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali berkata, rakyat Terengganu seharusnya berbangga dengan keunikan negeri mereka yang cantik, berbudi bahasa yang baik serta kaya dengan sejarah dan peradaban Melayu yang diwarisi turun-temurun.

“Sebagaimana kita maklum, Terengganu mempunyai sejarah yang panjang di wilayah Semenanjung yang membentuk identiti kebudayaan dan bahasa pertuturan yang unik berbanding negeri-negeri di Malaysia.

“Kerajaan negeri juga sentiasa komited dalam penghasilan dan penerbitan buku berkaitan negeri Terengganu kerana ia bukan sahaja bahan pembacaan dan penyelidikan malah sumber warisan intelek yang tiada galang gantinya,” katanya.


Beliau yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata demikian ketika merasmikan pelancaran buku “Orang Terengganu” di Dewan Serbaguna Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed, Penyunting Buku Orang Terengganu, Prof. Dato’ Muhammad Abu Bakar dan Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof. Kamaruzaman Yusof.

Tambahnya, melalui buku ini, generasi baharu akan lebih mengenali asal usul jurai keturunan Melayu Terengganu sekali gus mampu menjadi cerminan dan membentuk jati diri.

Sementara itu, Pengerusi PPAT, Ustaz Ridzuan Hashim mencadangkan agar buku ini menjadi cenderahati kerajaan negeri dalam program-program  agar ia menjadi ikon sejarah hidup orang Terengganu.

Katanya, ianya secara tidak langsung akan membantu mempromosikan keunikan yang terdapat di Terengganu untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: