Sunday, 20 January 2019

Bukit Harimau Menangis Terengganu Tarikan Baharu Sukan Hiking

SHARE
Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 20 Januari - Bukit Harimau Menangis berpotensi besar sebagai lokasi baharu aktiviti pendakian atau 'hiking' yang mampu menggamit kehadiran khalayak dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata,  lokasinya yang terletak berdekatan laluan utama, jalan raya dari Kemasik ke Pekan Air Jernih memudahkan peminat aktiviti rekreasi untuk datang berkunjung.

"Tidak jauh dari Mesra Mall (pusat membeli-belah tersohor di sini), kira-kira 10 kilometer sahaja serta sangat mudah untuk diakses," jelas beliau.

Sebelum itu, Ir Saiful Azmi Suhaili bersama kira-kira 400 orang penggemar sukan mendaki serta orang ramai memulakan pendakian sekitar pukul 8.00 pagi dalam Program Jom Hiking Bersama YB di Bukit Harimau Menangis, di sini, kelmarin.

"Penyertaan sangat memberangsangkan, jangkaan awal hanya 100 orang sahaja yang akan mengambil bahagian, ada yang datang dari jauh termasuk dari Kuala Terengganu, Dungun dan Cukai, Kemaman.


"Kita percaya dengan sambutan sebegini, ianya suatu petanda yang baik untuk lokasi ini yang bakal menggamit kehadiran ramai peminat sukan lasak dan juga orang ramai datang beriadah bersama keluarga di sini," ujarnya.

Menurutnya, ketika berada di puncak bukit itu, dengan ketinggian 660 meter dari aras laut, orang ramai dapat melihat keseluruhan Pekan Kemasik, Pantai Kuala Kemasik, Kampung Semayor, Kampung Cabang dan 'boiler-boiler' (dandang) kawasan perindustrian minyak di Kertih.


Ir Saiful Azmi juga mengharapkan pengunjung ke Bukit Harimau Menangis dapat mengutamakan aspek kebersihan alam sekitar bila berpeluang ke situ.

"Banyak sampah sarap ditinggalkan di puncak bukit serta sepanjang denai laluan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Kita perlu memupuk budaya ringan tulang di kalangan pendaki dengan tidak membuat sampah, malah mula bergerak untuk mengutip sampah," ujar beliau penuh harapan.

SHARE

Penulis: verified_user


0 komen: