Thursday, 3 January 2019

BTK FC Mahu Lunas Dendam Di Piala TAL ’18

SHARE

Oleh: Ahmad Fadhilah

KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Pasukan Banggol Tok Ku Football Club (BTK FC) melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Terengganu Amateur League 2018 (TAL 18) dan bakal berentap kembali dengan pasukan Majlis Daerah Besut (MD Besut) pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada 5 Januari ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jurulatih pasukan, Mohd Nazeri Mat Ali, 40, berkata, pasukan MD Besut adalah pasukan pilihan yang hebat dan bakal menyukarkan aksi hasrat BTK FC untuk meraih kejuaraan tersebut.

“Kita pernah bertemu dengan mereka dan kita kalah tipis 3-2 dalam perlawanan Liga Super Amatur sebelum ini.

 “Kali ini kita bertemu lagi dengan pasukan yang sama dan kita pastinya ingin menebus kembali kekalahan tersebut sekaligus membawa pulang Piala TAL 18 ini,” katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi latihan dan perlawanan persahabatan bersama Binjai Bongkok FC di Padang Kampung Baru Serada, semalam.

Mohd Nazeri mengucapkan rasa syukur kerana pasukan beliau berjaya ke perlawanan akhir setelah menundukkan CND FC 2-1.

Beliau juga menasihati pemain supaya menjaga kesihatan, keselamatan diri serta menghindarkan diri daripada sebarang konflik antara pemain supaya dapat lebih fokus dalam perlawanan itu.

“BTK FC bukanlah pasukan pilihan yang hebat. Namun, kita mempunyai semangat juang yang tinggi dan saya percaya pemain-pemain akan memberi komitmen tinggi dalam perlawanan akhir nanti,” ujarnya.

Perlawanan akhir TAL 18 akan berlangsung pada Sabtu ini pada jam 8.45 malam. Orang Ramai dijemput hadir bagi menyaksikan perlawanan itu dan masuk adalah percuma.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: