Saturday, 26 January 2019

Berita Gembira Untuk Generasi Felda Terengganu

SHARE

Oleh: Rohayati Ripin

KEMAMAN, 26 Januari - Seramai 105 orang generasi baru Felda Neram 1, bakal menerima rumah masing-masing apabila proses akhir penyerahan dilakukan oleh Felda Properties kepada kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Cikgu Razak Ibrahim berkata, rumah yang telah lama disiapkan akan diserahkan dalam tempoh yang terdekat setelah menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan dengannya.

“Isu rumah generasi kedua (yang sudah) lama siap,  sekarang ini dalam proses sebanyak 105 unit  dan di peringkat DUN kita dah selesai nama-nama dan kita beri kepada Felda Properties melalui Exco Perumahan.

“Cuma tunggu sahaja proses Felda sebab di bawah GSA (Akta Penempatan Berkelompok), ianya dalam proses menyerah balik kepada kerajaan dan bila selesai nanti, insya-Allah dalam masa  tak berapa lama lagi akan diberi kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata demikian kepada pemberita di sidang media ketika diminta mengulas berkenaan perkembangan tujuh bulan pemerintahan PAS Terengganu selepas Majlis Makan Malam Media Parlimen kemaman di Resindence Inn, Cherating, di sini baru-baru ini.
Sebahagian media yang hadir pada Majlis Makan Malam Media Parlimen Kemaman di Resindence Inn, Cherating.
Sementara itu, ADUN Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili berkata, seramai 44 orang peserta Felda Kerteh 5 juga akan menerima hak milik tanah masing-masing.

“Untuk Felda Kerteh 5 kita kenal pasti ada beberapa orang lagi, lebih kurang 44 peserta  yang masih  belum dapat geran dan ada yang berapa puluh tahun duduk di situ.

“Alhamdulillah, kita dah lulus dalam mesyuarat tanah yang terbaru untuk 44 orang peserta itu. Dalam masa terdekat setelah  selesai semua urusan berkenaan kita akan  buat penyerahan,” ujarnya.

Sementara itu, ADUN Chukai, Hanafiah Mat turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana berusaha membantu sembilan orang peserta di Felcra Seri Bandi mendapatkan kembali tanah masing-masing.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: