Sunday, 20 January 2019

Belia Perlu Main Peranan Pacu Pembangunan Terengganu

SHARE

Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 20 Januari - Golongan belia di negeri ini  perlu memainkan peranan sebagai pemacu fasa kemajuan sekali gus memastikan pelbagai kejayaan dicapai di bawah pemerintahan PAS dalam jangkauan 10 tahun akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, belia kawasan Sura perlu menunjukkan contoh yang baik kepada belia tempatan, termasuk di luar Terengganu.

“Gunalah fasa usia muda ini sebaik mungkin, bantu mereka yang memerlukan terutama mereka yang uzur, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta guna pakai pelbagai saluran yang ditawarkan kerajaan negeri untuk tujuan itu,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Bersama AJK MPKK Belia di Balairaya Kampung Molek, di sini baru-baru ini.

Katanya, generasi belia hari ini perlu pantas menyerap cabaran globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini yang menuntut belia bertindak pantas dalam memberikan maklum balas yang relevan dan positif kepada semua lapisan masyarakat .

“Statistik terkini menunjukkan golongan belia membentuk 40 peratus daripada lebih 35 juta penduduk negara ini.

“Sejak dulu lagi, belia adalah golongan yang menjadi fokus dalam setiap kerangka pembangunan nasional. Belia adalah aset penting yang menjadi penggerak dan pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara,” katanya


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: