KUALA TERENGGANU, 21 Januari- Seorang bapa kepada empat anak memanfaatkan
masa terluang pada waktu malam dengan menjalankan perniagaan sambilan menjual
kuih donut berharga 10 sen sebiji.
Peniaga itu Idham Syafiq Darmilus, 31, menjaja donut yang
dihasilkan sendiri kuih menggunakan motosikal di sekitar bandar raya ini sejak
seminggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan kerana harganya yang murah.

Idham berkata, dia
gembira dapat menjalankan perniagaan yang membantu meringankan beban orang
ramai.
"Saya daripada keluarga yang susah dan
sekarang juga masih susah justeru sangat memahami perasaan orang yang susah.
"Apabila saya menjual donut dengan harga
yang murah itu ia secara tidak langsung membantu pelanggan yang mempunyai anak
yang ramai.
"RM2 dan dapat 20 biji donut, justeru
cukup untuk mereka yang mempunyai ramai anak," katanya yang tinggal di
Kampung Jalan Banggol.
Tambahnya, dia berniaga donut itu sejak 2016 di
Kampung Telipot dan mempunyai gerai sendiri dengan jualan sebanyak 1,000 hingga
1,500 biji donut sehari.
"Memandangkan gerai itu diambil alih oleh
pemiliknya, saya terpaksa berpindah ke Jalan Banggol dan berkerja di kedai
makan bapa di situ.
"Isteri, Esah Ali, 35, dan empat anak
berusia tujuh bulan hingga 15 tahun terpaksa tinggal di rumah bapa mertua di
Dungun untuk sementara waktu.
"Saya berniaga sekarang mengumpul modal
untuk menyewa rumah dan membuka gerai donut sendiri dan membawa ahli keluarga
tinggal bersama," katanya.
Menurutnya, dia berniaga donut dengan motosikal
di Jalan Sultan Ismail itu sejak seminggu yang lalu.
"Saya bersyukur kerana donut saya laris
dan dalam tempoh setengah jam sahaja sebanyak 400 hingga 500 biji donut
terjual.
"Keyakinan saya ialah, apabila kita meringankan
beban orang lain dengan niat yang ikhlas, Allah akan membantu memberikan
kemudahan dalam segala kerja yang dilakukan," katanya.
0 komen: