Monday, 21 January 2019

Bantuan One-Off Musim Tengkujuh Untuk Nelayan Akan Dipertimbangkan

SHARE

KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan  bantuan 'one-off' daripada para nelayan kira-kira 10 ribu nelayan yang berdaftar sebanyak RM500 seorang sempena musim tengkujuh.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau memberi komitmen untuk mengangkat permohonan tersebut kepada pihak atasan.

“Kita menerima permohonan daripada nelayan berkaitan dengan bantuan 'one-off' musim tengkujuh khususnya ekoran daripada pengurangan bantuan sara hidup nelayan yang sebelum ini RM300 yang diberikan Kerajaan Persekutuan dan dikurangkan kepada RM200.

"Saya memberikan komitmen dan tanggungjawab untuk kita angkat permohonan tersebut untuk dibincangkan secara serius bagi kita membela nasib kira-kira  10 ribu orang nelayan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Negeri Terengganu,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam sidang media  selepas Majlis Pertemuan Bersama Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering semalam.

Katanya, kerajaan negeri perlu membelanjakan sebanyak RM5 juta setahun untuk kebajikan para nelayan pada musim tengkujuh.

“Permohonan (tersebut) insya-Allah kita akan bincang di peringkat  kerajaan negeri dari segi kemampuan kewangan dan sebagainya. Belum lagi diluluskan, kita baru terima permohonan dan akan dibincangkan.

"Apa pun dari segi dasar kerajaan negeri, memang kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Insya-Allah kita doakan yang terbaik,” ujarnya.

sehubungan dengan itu, menurutnya, beliau telah membawa isu penahanan 12 orang nelayan ke pihak Menteri berkenaan untuk dibuat rayuan.

Katanya, nelayan terbabit ditahan oleh Jabtan Perikanan kerana menggunakan pukat tunda dalam kawasan zon pantai kurang lima batu nautika di Kampung Mangkuk, Setiu.

“Saya secara peribadi telah mengemukakan rayuan khusus kepada Menteri Pertanian supaya diambil perhatian danyang paling kita tekankan supaya  lesen mereka tidak dibatalkan dan  peralatan mereka tidak dirampas.

“Walaupun kita simpati  dengan (mereka), kita (perlu menghormati) undang - undang yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985," ujarnya.

Dalam masa yang sama ujar beliau, kesilapan nelayan terbabit tidak dapat dielakkan daripada dikenakan kompaun berdasarkan kepada undang-undang sedia ada.

Namun, beliau berharap denda yang dikenakan adalah paling minima dan tidak memberikan kesan kepada kehidupan nelayan terbabit.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Haji Zawawi Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Khalil Abdul Hadi dan Pengarah LKIM Negeri, YM Tengku Mohd Anuar.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: