Wednesday, 16 January 2019

Bantuan Awal Persekolahan RM100 Diagih Januari

SHARE
Bantuan RM100 untuk pelajar dari isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah bermula Januari ini.
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM100 kepada setiap murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah mula diagihkan Januari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tanggungjawab kepada pihak sekolah untuk mengagihkan bantuan itu dengan segera bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, KPM akan menyalurkan peruntukan secara  terus ke akaun sekolah terlibat selepas mendapat pengesahan mengenai bilangan murid yang layak daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Pendidikan Swasta (BPS).

"Setiap pelajar akan menerima RM100 seorang dan agihan bakal dibuat pada bulan ini.

“Bagaimanapun, sekiranya tidak mencukupi, pihak sekolah boleh memohon peruntukan tambahan sehingga 30 April ini,” katanya.

Untuk rekod, peruntukan yang berjumlah RM312 juta  itu melibatkan seramai 3,121,774 pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 di 10,175 buah Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.

Sebanyak RM16 juta lagi diperuntukkan untuk Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Negeri yang diuruskan oleh  Jakim serta sekolah swasta yang berdaftar dengan BPS .

Bantuan itu hendaklah diagihkan dalam bentuk tunai sepenuhnya dan sebarang pemotongan serta agihan selain daripada kaedah tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: