Sunday, 20 January 2019

Awas 'Penternak' Nyamuk!

SHARE

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 20 Januari - Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus memberi amaran kepada mana-mana penduduk yang membiarkan pembiakan nyamuk aedes di kediaman mereka bakal dikenakan kompaun sehingga RM500 jika didapati bersalah.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Nerus, Dr. Rohayaty Muda berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengurangkan kadar kompaun yang dikenakan.

“Kita telah membuka tirai 2019 dengan sembilan kes (denggi) di daerah Kuala Nerus. Selepas ini, mana-mana kawasan yang kita masuk dan didapati pembiakan aedes berlaku, tiada maaf bagimu.

“Masyarakat perlu faham, kita bukan mahu jaga seorang, tapi mahu jaga ramai orang daripada virus denggi ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Program Gotong-Royong Cegah Denggi di Taman Permint Perdana semalam.

Program itu dihadiri hampir 300 orang  terdiri daripada penduduk di kawasan berkenaan dan kawasan Seberang Takir.                   

Program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan Pejabat Daerah Kuala Nerus itu turut mendapat kerjasama pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Permint Perdana dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dalam pada itu, pihak Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali telah mengeluarkan beberapa kain rentang di kawasan berkenaan sebelum ini bagi menasihati penduduk supaya bersama-sama mencegah wabak denggi ini.

MPKK  Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir turut dilihat mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah penyebaran wabak denggi dengan pelbagai program dan perancangan melibatkan masyarakat diadakan.

Majlis tersebut  dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Ahmad Fazil Wahab. Hadir sama, wakil Ahli Parlimen Kuala Nerus serta pegawai-pegawai daripada Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Seberang Takir.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: