Monday, 14 January 2019

Al-Quran Bukan Sekadar Bacaan

SHARE

Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 14 Januari - Al-Quran adalah kalamullah yang mengandungi mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril, ditulis dalam mashaf, dipindahkan secara mutawatir dan membacanya dinilai sebagai ibadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi juga perlu difahami dan dipraktikkan secara terperinci serta diamalkan, bukan sekadar untuk disimpan di tempat yang dikhaskan.

Menurutnya lagi, mereka juga perlu faham mengenai segala maksud dan tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya walaupun ia diturunkan dalam bahasa Arab manakala umat Islam itu sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai dan menggunakan bahasa mereka sendiri selain daripada bahasa Arab termasuk bahasa Melayu.

"Kalau kita ada seorang kekasih yang bukan sebangsa dengan kita mengutuskan surat, sudah pasti kita ingin memahami hasrat yang ingin disampaikan dan kita pasti akan mencari orang yang boleh menterjemahnya walaupun sepotong perkataan," ucapnya ketika merasmikan  Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun di Masjid An-Naim Sura Jetty semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Jelasnya, umat Islam hari ini tidak boleh memberi alasan sukar untuk mendapatkan ilmu khususnya dalam memahami al-Quran.

"Amat rugi kepada kita jika al-Quran yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad itu kita tidak tadabbur walaupun Allah kurniakan umur yang panjang tetapi digunakan untuk kelalaian.

"Bahkan amat malang lagi apabila kita gagal untuk membacanya kerana kesibukan dunia dengan pelbagai perkembangan teknologi sains, memudahkan kita mengakses sumber ini (al-Quran dan Hadis)," ujarnya lagi.

Sementara itu, johan qari disandang oleh Mustafa Ali manakala qariah pula dimenangi oleh Nadrah Ahmad Marzuki.

Kesemua pemenang akan mewakili Dungun di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu yang akan diadakan pada 29 hingga 31 Januari ini bertempat di Majlis Perbandaran Kemaman.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: