Tuesday, 22 January 2019

Air Sungai Kuala Jengal Berbau

SHARE


Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 23 Januari-  Masalah air Sungai Kuala Jengal, di sini yang  berbau sejak beberapa hari lalu berkemungkinan berpunca penggunaan baja untuk pertanian.
   
Pegawai Pertanian, Unit Pengurusan Sumber Tanah,  Jabatan Pertanian Negeri Terengganu,  Ahmad Saif Ahmad Samizi berkata, pihaknya mengambil cakna permasalahan itu, bermungkinan berpunca daripada sejenis baja mengandungi asid amino yang tinggi.

"Pihak kami mengambil sampel air (sungai) dan sampel baja untuk lihat kadar kandungan baja tersebut adakah ianya berbahaya dan melebihi apa yang kita syorkan melalui aras-aras baja yang kita ada.

"Dan mungkin juga akan diuji, adakah terdapatnya bahan-bahan yang merbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita , semasa meninjau ladang berkenaan setelah menerima aduan dari Jabatan Alam Sekitar sebagaimana dilaporkan penduduk, semalam.

Menurut Ahmad Saif, baja mengandungi asid amino sebenarnya bagus untuk  kesegaran buah kelapa sawit, bagaimanapun kena lihat daripada sudut kesan kepada alam sekitar dan  keselesaan penduduk setempat.

“Untuk akta baja jabatan pertanian masih tidak ada lagi akta yang boleh dikuatkuasakan, sekarang ini dalam peringkat draf agar dapat dipastikan bahawa baja-baja yang dikeluarkan tidak mendatangkan masalah,”katanya.

Sementara itu, Pengurus Ladang Prolip, Abdul Ghani Muda berkata, baja yang digunakan itu diyakini selamat.

"Baja itu diproses daripada gula yang diimport dari Negara Thailand dan melalui proses penapaian," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: