Thursday, 3 January 2019

17 Pengusaha Bot Terima Bantuan Insentif

SHARE
Ustaz Ariffin menyerahkan bantuan kepada salah seorang penerima
KUALA TERENGGANU, 3 Januari - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM19,000 sebagai bantuan insentif kepada 17 pengusaha bot penambang di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, bantuan insentif secara ‘one-off’ itu bertujuan untuk membantu meringankan beban kehidupan yang ditanggung pengusaha bot penambang yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas.


“Selain meringankan beban sara hidup, secara tidak langsung dapat meneruskan kelangsungan perkhidmatan bot penambang tradisional di Terengganu.

“Saguhati ini juga sebagai tanda penghargaan kepada golongan pengusaha bot penambang yang telah sekian laman mencurah bakti dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat dan juga pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Insentif Kepada Pengusaha Bot Penambang Negeri Terengganu di Dewan Serbaguna Pengkalan Titian, Seberang Takir, hari ini.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, sudah tiba masanya generasi muda mengambil peluang menceburi bidang pekhidmatan bot penambang pelancongan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.



"Kita akan adakan pelbagai kursus seperti kursus keusahawanan, kursus bahasa Inggeris, sistem lalu lintas, kursus etika kepada anak muda yang berminat untuk jadikan ia sebagai sumber pendapatan sampingan.

"Saya percaya perkhidmatan bot penambang pelancongan yang akan menghidupkan Jejak Warisan Pesisir Air mampu menggamit pengunjung mengenali lebih dekat lagi produk-produk di sekitar pesisir air Sungai Terengganu seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Pulau Warisan, Taman Tamadun Islam, Pulau Duyong, Kampung nelayan Seberang Takir serta Kampung Jeram,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: