Sunday, 20 January 2019

12 Nelayan Langgar Undang-Undang Ditahan

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 20 Januari - Tindakan 12 nelayan menggunakan pukat tunda dalam kawasan zon pantai kurang lima batu nautika di sini ditahan oleh Jabatan Perikanan di Kampung Mangkuk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perbuatan menggunakan pukat tunda merupakan kesalahan serius di bawah Akta Perikanan yang membolehkan lesen dibatalkan serta bot dan peralatan dirampas.

"Menitis air mata saya kalau bot dan peralatan mereka dirampas. Macam mana mereka nak cari rezeki walaupun mereka dah buat silap," ujarnya dipetik dalam laman sosial Facebook miliknya.

Menurut beliau, walaupun ada peruntukan yang membolehkan nelayan diberi lesen sementara untuk menggunakan pukat tunda di kawasan zon nelayan pantai di musim tengkujuh, tetapi pemberian lesen ini terpaksa dibekukan demi menjaga sumber perikanan dan kepentingan pihak lain.

"Kita sangat memahami suasana musim tengkujuh di mana nelayan tidak berani untuk pergi jauh ke tengah laut.

"Semua aspek ini saya ambil kira sebaiknya. Sumber perikanan kita nak jaga supaya tidak musnah, nelayan pun kita nak jaga.

"Yang dilarang hanya pukat tunda. Kaedah menangkap ikan cara lain tidak dilarang sama sekali,” ujarnya.

Dr Azman menyatakan inilah dilema yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab.

"Undang-undang kita nak tegakkan dalam masa yang sama kita sangat simpati dengan nelayan pantai yang kerjanya sekadar cukup makan sahaja," ujarnya.

Menurutnya, kes tangkapan ini bukan lagi bidang kuasa kerajaan negeri atau Jabatan Perikanan Negeri tetapi di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

"Saya dah nasihatkan nelayan yang ditangkap supaya buat rayuan kepada Menteri MOA dan saya juga akan susuli dengan rayuan secara peribadi dengan Menteri MOA.

"Salah tetap salah. Tapi undang-undang memberikan ruang untuk dikemukakan rayuan. Kita gunakan ruang ini semoga ianya memberi kebaikan kepada semua.

"Dengan sedaya yang mampu, saya akan payung rakyat yang berada di bawah tanggungjawab kita," ujarnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: