Tuesday, 25 December 2018

Wanita Seiring Majukan Terengganu

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar 

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Peranan wanita-wanita Terengganu bukan hanya untuk memberi khidmat semata-mata tetapi juga mengutarakan teguran dan pandangan yang baik di dalam memajukan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Cikgu Alias Harun berkata, kesungguhan ini dapat dilihat dengan pelantikan wanita di posisi-posisi penting di dalam kerajaan.

"Tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri kerana perlantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita kepada Menteri Besar dan juga wakil wanita daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS(DHPP) Terengganu. Ini adalah kesungguhan dan perhatian kepada wanita Terengganu," ujar beliau.


Alias yang juga ADUN Rantau Abang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hi Tea dan Dialog Wanita Terengganu Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sebuah hotel di sini baru-baru ini (22 Disember).

"Jadi kita mesti letakkan, tujuan kita pada petang ini, untuk sama-sama membina negeri Terengganu yang maju, malah negara Malaysia yang sejahtera," tambahnya.

Menurutnya, kemajuan yang sepatutnya diperlukan oleh masyarakat bukan sahaja berbentuk kebendaan.

"Bukan kita hanya memikirkan kebendaan sahaja, kita kena berjalan serentak, cari kebendaan  dan dalam masa yang sama majukan diri kita dalam mentaati perintah Allah," jelas beliau lagi.


Justeru itu, katanya, kerajaan negeri meletakkan penyelesaiannya ialah penyelesaian Islam yang tidak mendiskriminasikan warna, politik, kaum dan jantina.

Beliau sebagai ahli panel di majlis itu turut bergandingan bersama ADUN Wanita Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor. Turut hadir, Pegawai Khas Wanita di Pejabat Menteri Besar, Hajah Khairiah Mokti dan Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Hajah Zarani Othman.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: