Saturday, 15 December 2018

Ustaz Mohd Nor Pimpin Kempen 'Street Dakwah' Terengganu

SHARE
Ustaz Mohd Nor (tengah) ketika menemui golongan belia dalam Kempen Street Dakwah di PB Square petang semalam.
KUALA TERENGGANU,  15 Disember - Kerajaan negeri sentiasa memantau pusat-pusat hiburan agar pengusahanya mematuhi garis panduan hiburan patuh syariah yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kejadian maksiat di premis berkenaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan telah melihat garis panduan yang sedia ada dan akan memperkemaskan lagi garis panduan tersebut di masa akan datang. 

"Jadi kita (kerajaan) sudah meninjau pusat hiburan di bandar Kuala Terengganu dan melihat sendiri operasi hiburan dijalankan. 

"Ini termasuk melihat dari segi kekuatan lampu dan susunan kerusi  yang ada dalam panggung wayang di Paya Bunga (PB) Square yang bertujuan untuk menambah baik garis panduan hiburan yang sedia ada, " katanya. 

Ustaz Mohd Nor (tengah) memasuki pintu sebuah pawagam di PB Square bagi meninjau operasi pawagam berkenaan. 
Menurut beliau, kerajaan telah membentuk satu jawatankuasa khusus pelaksanaan syariah,  yang mana di bawahnya terdapat beberapa orang exco yang sedang berusaha memperkemaskan garis panduan kesenian,  kebudayaan dan hiburan di negeri Terengganu. 

Ustaz Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Program 'Street Dakwah' anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT)  di Bangunan PB Square di sini petang semalam. 

Turut serta dalam masa sejam program itu, 20 orang anggota penguatkuasa syariah diketuai oleh Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Ustaz Nik Zulhaiza Ismail. 

Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, program itu adalah kempen kepada pengunjung-pengunjung di pawagam PB Square, bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mereka agar tidak lupa untuk menunaikan solat fardhu. 

"Yang keduanya untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang kesalahan-kesalahan dalam agama seperti bercumbuan dengan 'ajnabiyyah' (di tempat awam), pergaulan bebas dan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang jenayah syariah. 

"Jadi kita turun atas asas untuk memberi kesedaran kempen dan melaksanakan program street dakwah kepada warga yang ada di panggung ini, " jelas beliau. 

Katanya, di waktu yang sama, kerajaan sedang membuat pemantauan tentang pelaksanaan garis panduan hiburan di panggung wayang di premis berkenaan sekali gus berusaha memperkemaskan garis panduan yang sedia ada. 

"Kerajaan akan sediakan garis panduan hiburan lebih kemas dan kita akan kemukakan kepada syarikat-syarikat yang mengadakan panggung wayang atau yang telah buat industri panggung wayang di negeri Terengganu ini agar ia bertepatan dengan syariat dan tidak akan berlaku sesuatu yang mencemari kemuliaan dan kemurnian nilai-nilai Islam itu sendiri, " jelasnya lagi. 

Di samping itu katanya,  kerajaan berharap masyarakat awam tidak hanya mengutamakan hiburan semata-mata tanpa menjaga dan mengambil kira nilai-nilai Islam dalam aktiviti tersebut.

Mengenai kempen street dakwah, beliau menjelaskan, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda yang datang menonton di pawagam berkenaan tanpa rasa takut terhadap kedatangan rombongan kempen itu. 

Ini kerana ia hanya untuk menyebar risalah kempen semata-mata bukan bertujuan menjalankan operasi cegah maksiat. 

"Kami  harap dengan risalah yang kami edar itu,  mereka terima dan mereka balik baca dan mereka ada kesedaran (untuk jauhkan diri dari kesalahan jenayah syariah), insya-Allah, " jelas beliau lagi. 

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: