Wednesday, 26 December 2018

‘Tiada Kejayaan Semanis Madu, Tanpa Usaha Sepahit Hempedu’

SHARE


Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 26 Disember- Kejayaan anak-anak tidak akan dapat dihasilkan tanpa usaha dan didikan yang terbaik daripada ibu bapa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Katanya, peranan yang dimainkan oleh ibu bapa amat penting dalam melahirkan anak-anak yang berjaya.

“Tiada kejayaan semanis madu, tanpa usaha sepahit hempedu. Peranan ibu bapa sangat penting dalam melahirkan anak-anak yang berjaya.

 “Malah, ibu bapa juga perlu bekerjasama dengan guru-guru di sekolah supaya mudah untuk guru mengenal pasti potensi anak-anak ketika berada di sekolah”, ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2018 Yayasan Terengganu di Dewan Haji Salleh Alor Lintah, Besut, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Yayasan Terengganu, Dr Hashim Azmi Che Nuh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Besut, Shalahuddin Jaafar.

Majlis tersebut dihadiri seramai 69 orang pelajar seluruh daerah Besut yang cemerlang dalam PPSR 2018 bersama ibu bapa masing-masing.

Katanya, semua ibu bapa mengimpikan anak-anak yang cemerlang dunia dan akhirat.

 “Kita tidak mahu anak-anak hanya cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi kita juga mahu mereka cemerlang akhlak, cemerlang dalam mentaati ibu bapa dan yang paling penting sekali ialah kita mahu mereka cemerlang agama”

“Kita tidak mahu anak-anak membesar tanpa mengenal Tuhan dan tidak tahu hukum hakam agama. Hal ini supaya anak-anak mempunyai akhlak yang baik, sopan santun dan pandai berbudi bahasa,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: