Tuesday, 25 December 2018

"Terima Kasih, Akhirnya Saya Dapat Baju Sekolah" - Amiruddin

SHARE
Amiruddin menerima sumbangan Bantuan Awal Persekolahan daripada Ahmad Shah.
Oleh: Syed Abdul Rahman

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - “Walaupun nama anak kami tercicir daripada senarai penerima bantuan sebelum ini, tetapi akhirnya kami tetap mendapat ‘nikmat’ sama seperti yang lain.

"Terima kasih YB (Yang Berhormat)!” ujar Azlan Ali, bapa kepada adik Muhammad Amiruddin, 13, salah seorang penerima Bantuan Awal Persekolahan Tambahan, hari ini.

Amiruddin merupakan pelajar baru tingkatan satu dan akan mendaftar di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang bagi sesi persekolahan 2019.

Pada awalnya, sumbangan Bantuan Persekolahan oleh Tabung Darul Iman (TDI) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berlangsung dua minggu yang lalu.

Namun, hari ini sesi bantuan sekali lagi diadakan untuk mereka yang layak menerima bantuan tetapi dikesan tercicir dari menerima baucer I-Dana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, seramai 40 orang menerima bantuan awal persekolahan pada sesi pertama.

“Apabila menyedari ada pelajar yang tercicir, kami mengambil inisiatif mencari dana lain bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memang layak menerima.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat memberi sedikit keselesaan dan kesenangan kepada mereka yang menerima," katanya ketika menyampaikan sumbangan tersebut di Balairaya Kampung Hiliran, semalam.

Dalam program yang dianjurkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dengan kerjasama Majlis Tindakan Dun itu, Ahmad Shah turut menyerahkan cek bantuan kepada lima pesakit kronik dalam Dun Bandar.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: