Sunday, 30 December 2018

Terengganu Sambut Tahun Baru Acuan Islam

SHARE
Ustaz Mohd Nor Hamzah.
KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kerajaan Terengganu memutuskan untuk mengadakan program sambutan Tahun Baru 2019 di Stadium Tertutup Gong Badak bermula 31 Disember sehingga tengah malamnya dengan beberapa pengisian penting.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, sebelah pagi akan dimulakan dengan kayuhan basikal bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar (MB) dan peminat sukan berbasikal.


"Petang pula diisikan dengan sedikit hiburan yang berkonsep Islam dan kesederhanaan untuk keseronokan anak-anak muda bersama Ustaz Muzaini Abdul Rahman dan beberapa selebriti lain. Manakala malam diawali dengan kuliah maghrib oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hadi Awang, juga solat hajat dan munajat di seluruh masjid surau di Terengganu agar Allah mencucuri berkat pada negeri dan rakyat Terengganu jauh daripada musibah dan malapetaka.

"Kita juga memohon untuk dibukakan hati pemerintah pusat supaya royalti terus jadi milik kerajaan negeri, tidak lain, bagi kepentingan rakyat Terengganu. Kemudian Ustaz Azhar Idrus dan beberapa selebriti akan memeriah malam tersebut diikuti dengan ucapan YAB MB dan doa selamat," ujarnya dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Katanya, Januari merupakan hari-hari yang ditetapkan oleh Allah. Tahun Baru masihi adalah tahun yang berasaskan kiraan pusingan matahari. Allah menjadikan matahari dan bulan sebagai salah satu tanda kebesarannya.

"Ia adalah sama sebagaimana hari-hari yang lain. Sambutan ini diadakan bukan untuk menyambut Tahun Baru secara khusus atau mengikut jejak langkah yahudi dan nasrani tetapi atas tujuan pemurniaan dan islah (pembaikan).

"Jika Sultan Muhammad Al Fateh telah berjaya mengubah gereja Agia Sofia menjadi masjid  di Istanbul, Turki, kami kerajaan negeri pula mahu mengubah sikap dan perangai ummah akhir zaman untuk menyambut awal tahun baru dengan cara yang sesuai dengan Islam," katanya.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut memberitahu, apa-apa perayaan yang bukan keagamaan, Islam tidak menghalang umatnya meraikannya.

"Oleh itu kita bukan membuat sambutan untuk menyerupai kaum kafir tetapi kita mahu membendung umat islam mengisi malam tahun baru mengikut cara mereka. Sudah menjadi kebiasaan sambutan tahun baru diisi dengan kelalaian dan kelekaan serta banyak juga yang berunsur maksiat.

"Corak ini mesti diubah. Cara dan sikap ini mesti dimurnikan dengan keindahan untuk membuktikan ianya dibolehkan Islam, tetapi mesti tepat kaedahnya. Inilah antara maksud utama kerajaan negeri mahu mengadakan program ini.

"Cara ini cara kita, bukan sunnah, juga tiada kaitan dengan ibadat khusus agama kita dan juga penganut agama lain. Jika penganut Kristian mahu menyambut mengikut cara mereka, ianya bebas dan tiada penghinaan serta kritikan buat mereka. Dan untuk itu, sewajarnya, penganut 'non-muslim' khususnya DAP tidak sibuk mempertikaian cara dan kehendak kami.

"Kami tahu, ada sebahagian mereka bersifat rasis dan cuba memaksa umat Islam berperangai seperti mereka serta asyik mahu mencampuri urusan muslim. Kami akan mengingatkan umat Islam tentang sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sungguh kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan? Nabi SAW menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka," tegasnya.

Dalam tumpuan sama, tambahnya, kerajaan negeri juga berhasrat  untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari ilmu dan hari Sabtu pula untuk keluarga. Rakyat yang berilmu adalah tunggak kepada kerajaan yang terbaik.

"Kami memerlukan rakyat dan rakyat memerlukan kami. Kita semua ada tanggungjawab kepada Allah dan manusia, ‘hablun minallah, hablun minanaas’. Oleh itu kedua-dua hari ini adalah penting bagi rakyat mengisinya dengan hal yang sepatutnya kepada Allah dan keluarga supaya hidup kita lebih bermakna dan gembira," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: