Tuesday, 18 December 2018

Terengganu Rangka Tindakan Susulan Banjir

SHARE
Tengku Hassan tinjau rumah dan saliran yang dinaiki air.
KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkesempatan meninjau banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pagi semalam.

Beliau yang ditemani kakitangan Pusat Khidmat DUN melihat keadaan rumah mangsa dan saliran di lokasi kejadian memaklumkan,  keadaan itu telah beberapa kali berlaku dan memerlukan tindakan yang sistematik.

“Banjir kilat awal pagi ini di DUN Ladang disebabkan hujan lebat semalam dan dijangkakan akan berulang dua tiga kali lagi pada musim ini.

“Punca utamanya ialah longkang yang tidak mampu menampung jumlah air yang banyak daripada kawasan lain melalui kawasan ini sebelum turun ke sungai dan laut.

“Penduduk di sini mengatakan air tersekat di punca saliran sama ada di Kuala Ibai atau Tok Andis dan kita akan mengesahkan puncanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Alamanda semalam.
Keadaan Zainun akan diberi perhatian.
Dalam tumpuan sama, beliau sempat menziarahi rumah ibu tunggal, Zainun Yusof, 76, yang turut dinaiki air sehingga ke ruang tamu rumah. Zainun yang baru menjalani pembedahan di kepala terlantar ditemani anak-anaknya.

Tengku Hassan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri menegaskan akan melaksanakan tindakan susulan untuk membantu penduduk supaya kejadian ini tidak berulang di masa akan datang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan buat laporan teknikal untuk kita ambil tindakan. Untuk kawasan ini, kita dapati air berjalan tetapi tidak dapat mengalir dengan deras menyebabkannya bertakung selama dua tiga jam.

“Kita mahu laksanakan penyelesaian segera dan berkesan. Tetapi, JPS lebih tahu teknikalnya untuk tindakan susulan dan kita terpaksa menunggu laporan tersebut.

“Bagi situasi ini, pemindahan tidak diperlukan. Cuma ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah diarahkan bersedia untuk membantu sebarang masalah yang berlaku dengan segera,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: