Tuesday, 25 December 2018

Terengganu Nilai Penghasilan Minyak Diesel Daripada Plastik

SHARE
Minyak yang dihasilkan memiliki standard yang tinggi.


Oleh : Safwan Syakir

KUALA NERUS, 24 Disember: Kerajaan negeri akan menilai penghasilan minyak Diesel secara komersial dengan menggunakan sisa buangan daripada bahan plastik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, antara kelebihan dengan wujudnya teknologi ini, ia akan dapat mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar daripada 100 peratus menjadi 10 peratus di kawasan operasi.

“Kos yang ditanggung oleh pihak kerajaan untuk penyelenggaraan dan pelupusan sampah juga  dapat dikurangkan secara tidak langsung jika adanya inovasi seperti ini dengan kaedah yang mudah dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri lawatan Tapak Projek "Plastic to Fuel" di kilang Syngas, Gong Badak, hari ini.
Dr. Alias melihat prises dalam mesin yang digunakan.

Dr. Alias menyifatkan inovasi tersebut mempunyai prospek cerah di pasaran memandangkan permintaan yang tinggi daripada pengguna kenderaan di samping dapat menghasilkan biomas ataupun tenaga yang boleh diperbaharui.

“Kerajaan bersedia untuk menjalin kerjasama bagi memajukan industri ini yang secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan buat penduduk tempatan.

"Selain itu, ia juga memberi kesan positif kepada tapak pelupusan sampah sedia ada," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Syngas, Ahmad Zaim Bin Mohamad Adan berkata, teknologi yang dibina dapat menghasilkan 200 liter Diesel hanya dalam masa sejam.

"Mesin yang bernilai RM6 Juta ini merupakan binaan tempatan dan mampu menghasilkan kapasiti minyak sebanyak 5,000 liter dalam satu masa," katanya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Samiun Salleh serta pegawai-pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK).

Sisa plastik yang dikumpulkan mampu jana hasil.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: