Sunday, 30 December 2018

Terengganu Perintis Libatkan MPKK Dalam JKKR Felda

SHARE
Sebahagian MPKK yang hadir mendengar Taklimat JKKR MPKK Kawasan Felda di Wisma Darul Iman, hari ini.
KUALA TERENGGANU, 30 Disember -Kerajaaan negeri berterima kasih kepada pihak pengurusan tertinggi Felda di atas kebenaran melibatkan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebagai salah seorang Jawatankuasa Kemajuan dan Kebajikan Rancangan (JKKR) di seluruh 21 Tanah Rancangan Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, penglibatan ini juga menjadikan Terengganu sebagai negeri pertama yang membuat pelantikan berkenaan.

"Saya selalu berpesan jika turun ke Felda, ia bukan satu komuniti yang terpisah malah kita anggap satu kampung daripada kampung-kampung yang banyak.

"Cuma ada sedikit perbezaan dari struktur termasuk pengurusan dan inilah yang nak kita selesaikan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada wakil-wakil 43 MPKK daripada 20 Tanah Rancangan Felda yang hadir ketika merasmikan Taklimat JKKR MPKK Kawasan Felda di Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sementara itu, menyentuh tentang permohonan daripada kerajaan pusat untuk memasukkan lima orang wakilnya sebagai MPKK, pihak kerajaan negeri tidak mempunyai halangan sebagaimana jawapan Menteri Besar sebelum ini.

"Kita tiada masalah dan sehingga sekarang masih menunggu cadangan senarai nama dari mereka untuk tambahan bagi ahli jawatankuasa yang sedia ada.

"Tapi sehingga sekarang masih belum dapat senarai tu dan kita akan tunggu, jika ada kita akan uruskan segera," katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: