Wednesday, 5 December 2018

Terengganu FC Mulakan Kempen Patuh Syariah

SHARE
Hishamuddin ditemui pemberita pada latihan pertama TFC hari ini.
KUALA NERUS, 5 Disember - Sebahagian pemain pasukan Terengganu FC (TFC) kelihatan sudah memulakan 'kempen' patuh syariah yang disuarakan kerajaan negeri dalam latihan pertama skuad itu di Padang C, Stadium Tertutup Gong Badak hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) , Hishamuddin Abdul Karim yang hadir meninjau latihan petang tadi memaklumkan, kempen itu akan dilaksanakan setelah kelengkapan pemain siap dan sempurna.

"Kita masih belum menerima kelengkapan latihan kerana masih dalam proses penyempurnaan daripada penaja.

"Selepas itu nanti, barulah pemain-pemain mengenakan pemakaian patuh syariah," katanya.

Beliau memaklumkan, PBSNT mengharapkan kebangkitan baru untuk tahun 2019.

"Kami ingin TFC meneruskan kesinambungan kejayaan 2018 selain mengharapkan sesuatu yang luar biasa musim depan.

"Pasukan ini dibentuk 100 peratus di bawah kepercayaan ketua jurulatih hasil perbincangan dengan pengurusan.

"Pengurusan tidak mengganggu sebarang pemilihan pemain. Sebaliknya, kami cuma menyatakan hasrat dan target pasukan untuk musim depan.

"Manakala, jurulatih diberikan kebebasan memastikan pemain yang dipilih adalah yang terbaik," katanya.

Hishamuddin turut menyatakan, pengurusan berhasrat mahukan peningkatan terbaik dalam permainan dan pasukan.

"Kita tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi. Tetapi, kita cuba merealisasikan target satu piala yang tidak tercapai tahun ini.

"Namun, dengan komitmen pemain, tidak mustahil kita mampu mendapat lebih piala," katanya.


Sementara itu, Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata, kesediaan PBSNT terhadap hasrat  itu mula dilaksanakan pemain walaupun musim belum bermula.

"Kita dapat lihat hari ini dalam lapan ke sepuluh pemain telah mula memakai pakaian yang menutup aurat.

"Saya akan berbincang dengan para pemain lebih lanjut tentang hal ini dan pelaksanaannya," katanya ketika ditemui pemberita.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: