Wednesday, 26 December 2018

Terengganu Beri Keutamaan Kepada OKU

SHARE
Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Oleh: Afiq M. Zaid

KUALA TERENGGANU, 26 Disember - Golongan orang kelainan upaya (OKU) akan diberi perhatian untuk menceburi bidang keusahawanan bagi membantu keluarga di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan dana khas untuk menggalakkan golongan OKU terlibat dalam keusahawanan.

"Berkenaan dengan OKU, kerajaan negeri galakkan OKU untuk terlibat dengan keusahawanan ini. Mereka perlu diberi keutamaan lebih kerana berpotensi,  kadang-kadang lebih berbakat daripada orang biasa.

"Kalau kita tak fokus kepada mereka, mereka mungkin akan keciciran," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri mewujudkan dana khas OKU di dalam Bajet Terengganu 2019.

"Jadi dalam bajet ini, kita khususkan ada satu tabung yang bakal diwujudkan. Satu dana yang kita namakan Dana Prihatin Terengganu atau singkatannya Dihati khusus untuk golongan ini," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung di Manis.FM baru-baru ini (23 Disember).

Menurut Norkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, tidak timbul isu bahawa golongan OKU tidak diberi keutamaan dan peluang.

"Kita mencari lebih ramai lagi usahawan dalam golongan OKU ini. Banyak kelebihan yang Allah beri pada mereka.

"Sebagai contoh, jika dia kurang upaya dari segi anggota tapi dia cekal dari segi hati dan ada daya saing, itu pun boleh menyebabkan dia boleh berjaya.

"Jadi benda-benda ini kita nak cungkilkan dan kita nak lahirkan usahawan OKU yang berjaya," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: