Monday, 3 December 2018

Terengganu Agih Bantuan Persekolahan Bermula Hari Ini

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat (duduk) bertanyakan saiz kasut seorang kanak-kanak.
Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN, 3 Disember - Bantuan awal persekolahan telah mula diagihkan bermula hari ini secara berperingkat mengikut daerah di Negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, sebelum ini kerajaan dahulu turut mengagihkan bantuan persekolahan tetapi dalam bentuk baucer tunai.

"Kalau dulu bantuan ini diterima dalam bentuk tunai namun kali ini kita agihkan terus pakaian sekolah lengkap untuk lelaki dan perempuan.

"Kerajaan berusaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dalam bentuk pakaian melalui rundingan dengan Syarikat Pakaian Canggih," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2019 Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka yang bertempat di Dewan Sivik Paka hari ini.

Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, bantuan ini akan diagihkan kepada 32 DUN di Terengganu secara berperingkat.

"Setakat maklumat yang kita dapat, lebih kurang 3,000 hingga 4,000 orang yang menerima bantuan ini dari setiap DUN.

Beliau juga memberitahu, sekiranya bantuan ini berjalan dengan baik, ianya akan dikemaskini, ditambah baik pada masa akan datang dan diteruskan kepada rakyat negeri ini.


"Insya-Allah kerajaan negeri akan meneruskan bantuan ini pada masa akan datang.

"Saya juga berharap bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan ini dapat membantu serta meringankan beban rakyat dengan kenaikan harga barang hari ini," tambahnya.

Dalam pada itu, seramai 5,105 orang pelajar dari 27 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar DUN Paka menerima bantuan ini yang bermula pada pagi tadi sehingga Ahad depan secara berperingkat.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Paka, Jabatan Amal Paka, Muslimat PAS Paka, Pemuda PAS Paka dan wakil MPKK yang turut membantu dalam program pengagihan hari ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: