Friday, 28 December 2018

Terengganu Tubuh Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI)

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 27 Disember - Selepas Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), kerajaan negeri memutuskan untuk mewujudkan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) di  setiap daerah di Terengganu.

Kesemua SMIDI itu akan diwujudkan di kesemua lapan daerah secara berperingkat dengan sekolah pertama dibangunkan di tapak asal Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) di Hulu Terengganu yang dijangka mula beroperasi tahun depan.

Penubuhan SMIDI ini adalah kesinambungan daripada SRIDI dan sekolah ini akan menggunakan modul serta silibus Arab sebagaimana dilaksanakan di sekolah-sekolah aliran Arab suatu ketika dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, buat permulaan, kerajaan akan mula membuka pengambilan pelajar untuk Markaz Lughah.

Sebelum ini, pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) terpaksa mengikuti lughah (Bahasa Arab) di Mesir, baru boleh masuk kuliah. Jadi sekarang ini kita buat di Terengganu.

"Jadi lepas pada ini, pemegang sijil Markaz Lughah kita boleh masuk 'direct' kuliah, kira jimatlah sementara dia tunggu keputusan STAM, jimat masa dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PPSR Tahun 2018 di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Ustaz Satiful turut memberitahu, pihaknya ada berbincang dengan institusi pendidikan lain antaranya Ummu Qura di Universiti Islam Madinah dan juga Masjidil Haram.

"Kita harap boleh pertingkatkan kemampuan, kemahiran mereka berdasarkan pengalaman di Masjidil Haram dan sebagainya, " katanya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: