Saturday, 15 December 2018

Tengkujuh Melanda, Pendapatan Nelayan Tidak Menentu

SHARE

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 15 Disember - Pendapatan nelayan di negeri Terengganu tidak menentu memandangkan keadaan angin kencang dan laut bergelora sekali gus tidak selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Salah seorang nelayan, Masrul Efendi Muhammad dikenali sebagai Yo’ berkata, kebiasaannya bermula penghujung November hingga Mac, kebanyakan nelayan memilih untuk tidak mengambil risiko turun ke laut.


“Buat masa ini air pasang besar pada waktu malam dan saya sendiri tidak mempunyai sebarang punca rezeki lain selain daripada mencari hasil laut.

“Selain daripada angin monsun timur yang sedang melanda pantai timur, pencerobohan daripada nelayan asing juga menjadi masalah buat nelayan tempatan mencari rezeki walaupun bukan musim  tengkujuh," luahnya ketika ditemui pemberita di jeti Sungai Seberang Tuan Chik Haji, Bukit Tunggal, kelmarin.

Pembantu Operasi Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Azizan Mohamed berkata, rumah yang dekat dengan pantai berisiko tinggi dinaiki air ketika berlaku 'pasang besar' lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Masyarakat khususnya ibu bapa diingatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika meninjau paras air sungai Nerus kelmarin.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: