Thursday, 13 December 2018

Temuduga Pelajar SRIDI 17 Disember

SHARE
Satiful mahu pelajar terbaik sertai SRIDI.
KUALA NERUS, 13 Disember - Pemilihan pelajar-pelajar yang memohon Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan dilaksanakan dalam sesi temuduga pada 17 Disember ini.

Temuduga itu akan diadakan di enam lokasi pertama SRIDI iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, proses itu perlu dilakukan kerana permohonan yang diterima melebihi kapasiti yang diperlukan.

"Setakat ini, kita hanya memerlukan 50 pelajar bagi setiap cawangan SRIDI dan pelajar-pelajar ini akan dipilih secara adil melalui temuduga tersebut.

"Paling penting, kita akan pilih yang terbaik kerana para pelajar bakal mengikuti subjek tambahan yang lebih banyak berbanding sekolah rendah kebangsaan," katanya ketika hadir bertemu guru-guru SRIDI yang mengikuti kursus induksi di Institut Pendidikan Guru Dato' Razali Ismail, semalam. 
Satiful bersama kepimpinan JHEAT dan guru-guru SRIDI.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menasihati 44 guru yang baru dilantik untuk melaksanakan tugas dengan baik.

"Ini adalah amanah yang harus ditunaikan sebaik mungkin. Saya berharap para guru yang menggalas kepercayaan kerajaan negeri ini dapat buat yang terbaik demi imej dan masa depan pendidikan Islam di Terengganu," katanya.

Tenaga pengajar SRIDI merangkumi subjek agama dan umum mengikuti kursus induksi bermula 9 Disember lalu yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Kursus tersebut berakhir hari ini dan mereka seterusnya akan ditempatkan di enam cawangan SRIDI sebelum memulakan tugasan awal Januari 2019.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: