Monday, 31 December 2018

Tautan Mahabbah Eratkan Ukhwah

SHARE
Tuan Faizah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sempena program Tautan Mahabbah

Oleh: Aslam Wira

MARANG 31 Disember- Program Tautan Mahabbah mampu mendekati masyarakat serta mengukuhkan lagi mahabbah antara pemimpin dan masyarakat yang berada di dalam dan luar bandar.

Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata  sifat mahabbah kini menjadi terlalu penting disuburkan dalam masyarakat supaya rasa kekitaan dan kebersamaan lahir dan harus digunakan untuk menyantuni antara satu sama lain.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya jua kita dapat berkumpul di dalam suatu program santai 'Tautan Mahabbah' ini yang mana bila disebut mahabbah, ertinya kasih sayang.

“Tak kenal maka tak cinta dan sebab itu lah penting bagi saya program ini diadakan supaya kita dapat saling kenal mengenali, beramah mesra dan saling berkongsi idea dan maklumat… pertemuan ini lah pelbagai susulan malah percambahan idea untuk kebaikan bersama,”katanya ketika merasmikan program Tautan Mahabbah di Kuala Tengah, baru-baru ini.

Turut hadir , Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman;  Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Daud Jusoh dan Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohamad Embong


Menurut beliau, kebajikan sangat dekat dengan beliau kerana hampir setiap hari, bersama-sama wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Halwa Dun Rhu Rendang akan mengadakan ziarah kebajikan.

“Sangat sesuai dengan objektif pihak penganjur yang mahu beramah mesra bersama penduduk dan mereka menyusun jadual saya sebaiknya agar segenap lapisan penduduk dapat diziarahi.

“Dari program ziarah saya dapat mengenali dan mendekati penduduk di dalam dun ini, terutamanya yang memerlukan bantuan dan pendek kata, dari ziarah juga sangat mendidik dan memberi pengajaran kepada saya agar terus kuat untuk bekerja bersama-sama ‘pasukan’ saya ini untuk menunaikan amanah yang dipikul,”ujarnya lagi.


Dalam perkembangan lain, selama lebih tujuh bulan kerajaan baharu Terengganu di bawah kepimpinan YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu  diberi mandat oleh rakyat, selama itu juga  kerajaan negeri telah berjaya menunaikan beberapa manifestonya.

“Sesungguhnya, segala perancangan tidak mungkin dapat direalisasikan sepenuhnya tanpa sokongan dan penglibatan rakyat sekalian.”

“Jadi saya menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan di hadapan saya pada hari ini, semoga kita sama-sama menggembleng tenaga, buah fikiran dan sokongan agar impian kita untuk melihat Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjadi kenyataan,”katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: