Monday, 17 December 2018

Syarikat Perlombongan Janji Bayar Ganti Rugi

SHARE



Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 17 Disember - Sebuah syarikat perlombongan bijih besi, di sini berjanji akan membayar kerugian yang dialami penduduk berikutan banjir lumpur akibat kolam takungan kerja perlombongan milik syarikat itu pecah, semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cawangan  Perumahan Bukit Besi, Abas Ghani berkata, pihaknya mengunjungi syarikat itu bagi menyiasat perkara sebenar sebalik isu yang berlaku.

Katanya, hasil pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat, mereka berjanji akan membayar ganti rugi kepada pemilik tiga rumah yang terjejas akibat banjir lumpur itu.


"Hasil pertemuan itu, pengurus syarikat, Mr Khoo memberitahu bahawa apa yang terjadi adalah di luar jangkaan dan pihaknya berjanji membayar ganti rugi serta meminta supaya mangsa membuat nilai tafsiran jumlah kerugian sebenar.

"Kita datang ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.Selama 60 tahun tidak pernah lagi terjadi banjir lumpur sedemikian. Ini adalah pertama kali dalam sejarah di Bukit Besi,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita  selepas pertemuan dengan pengurusan syarikat itu, di sini, semalam.











Menurutnya, takungan air yang digunakan membasuh bijih pecah disebabkan kelajuan kepala air serta menyebabkan limpahan banjir lumpur ke kawasan sekitar.

"Kita mengharapkan agar syarikat berkenaan mengotakan janji demi kebaikan penduduk setempat yang terjejas akibat kejadian itu," katanya lagi.

Kejadian itu juga menyebabkan satu gelanggang futsal turut rosak dan syarikat berkenaan turut berjanji untuk membaik pulih semula kemudahan sukan kepada orang ramai itu.

Penjaga dewan futsal, Ibrahim Jusoh berkata, kemudahan sukan itu menjadi platform anak muda sekitar mengadakan aktiviti sukan dan riadah terutama berfutsal pada setiap hari terutama hujung minggu sehinggakan kutipan sewa gelanggangnya mampu mencecah sehingga RM400 sehari.

"Jadi kerja baik pulih itu perlu disegarakan supaya tidak menjejaskan aktiviti .anak muda di Bukit Besi ini," katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: