Thursday, 20 December 2018

Speaker Terengganu Ketuai Lawatan Ke DUN Sabah

SHARE


KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali mengetuai lawatan kerja ke DUN Sabah selama dua hari baru-baru ini (14 Disember) yang bertujuan untuk mendalami  secara mendalam berkaitan sistem perundangan, kecekapan tugasan dan peraturan-peraturan dewan di negeri di bawah bayu tersebut.

Dalam kunjungan tersebut, Yahaya sempat berkongsi pengalaman dengan Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Panglima Syed Abas Syed Ali berkaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Difahamkan, katanya, DUN Sabah mempunyai enam ADUN yang sudah lama dilantik bagi bersama-sama kepimpinan kerajaan negeri.

“Apa yang telah dilaksanakan Sabah boleh dijadikan contoh dan kita juga ada  melantik Zuraida Md Noor sebagai ADUN wanita pada persidangan DUN baru-baru ini.

“Pada masa sama, kita dapat mengetahui dan berkongsi pengalaman bagaimana kaedah, kemudahan dan peraturan yang diguna pakai pihak itu sepanjang persidangan berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang tujuan lawatan itu.

Dalam tumpuan lain, Yahaya bersama ahli rombongan turut dipelawa menyaksikan perlawanan persahabatan Kejohanan Lawn Bowl (boling padang) antara pasukan Terengganu dan Sabah.


Pihak Persatuan Lawn Bowl Sabah mengakui kehebatan Terengganu kerana pernah merangkul tiga emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 baru-baru ini dan mereka bersetuju ke Terengganu bagi mencungkil pengalaman, selain mahu berkongsi rahsia kejayaan dalam tempoh terdekat.

Lawatan itu turut disertai isteri beliau, Hajah Zarani Othman, Setiausaha DUN, Zulkifly Isa, pegawai dan kakitangan DUN Terengganu yang lain.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: