Wednesday, 26 December 2018

Saya Ada Di Mana-Mana - ADUN Wanita

SHARE


Oleh : Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 26 Disember -` Saya berada di mana-mana', kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Hajah Zuraida Md Noor  sebagai mengekspresikan sikap dan kesungguhan untuk melaksanakan matlamat serta amanah daripada kerajaan negeri kepada belaiu.

Beliau juga memberitahu, bagi menjayakannya, satu urusetia wanita akan ditubuhkan menerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri bagi memperkasakan program wanita sekali gus menjaga kebajikan kaum hawa di seluruh Terengganu.

"Alhamdulillah dengan pelantikan wakil rakyat wanita, banyak program serta aktiviti yang memberi keutamaan kepada wanita sepenuhnya.

"Pelbagai program dan aktiviti merangkumi pendidikan, kebajikan dan banyak lagi di bawah Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional akan dirancang serta dilaksanakan secara berperingkat-peringkat nanti," katanya.

Zuraida berkata demikian ketika Program Hitea dan Dialog Wanita Negeri Bersama Badan Bukan Kerajaan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Alias Harun di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita di Pejabat Menteri Besar, Hajah Khairiah Mokti dan isteri Yang Dipertua DUN Terengganu, Hajah Zarani Othman.

Menurut Zuraida lagi, kerjasama dengan portfolio-portfolio lain dalam pentadbiran negeri juga akan direalisasikan supaya program dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

"Menerusi  Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipengerusikan oleh YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, kita akan bawakan cadangan, saranan dan suara-suara NGO yang hadir ini kepada beliau untuk diperhalusi dan dilaksanakan sebaik mungkin" kata beliau.


Dalam pada itu, beliau juga memuji NGO yang hadir dan mengambil bahagian dalam sesi dialog itu, kerana mencapai matlamat untuk mewujudkan komunikasi dua hala serta menyelesaikan pelbagai isu berkaitan masa kini.

"Inilah pentingnya program sebegini, jadi kita tahu kehendak dan harapan NGO dan rakyat di luar sana yang dimahukan daripada kerajaan,"katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: