Wednesday, 12 December 2018

Pusat Pemindahan Banjir Pertama Setiu Dibuka

SHARE

Oleh: Dzakaria Mohd Salleh, Ariss Alias

SETIU, 12 Disember - Seramai 40 orang membabitkan 12 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Kampung Merbau Menyusut, Langkap pada jam 9.43 malam ini.

Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada lima orang lelaki, 20 wanita, lapan orang kanak-kanak lelaki dan tujuh orang kanak-kanak perempuan.


Menurut laporan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu, mereka yang dipindahkan adalah mangsa banjir pertama di kawasan Setiu berikutan hujan yang turun sepanjang hari ini.

Sementara itu, Jalan Lubuk Panjang turut ditutup daripada laluan semua kenderaan ringan.

Justeru, melalui aplikasi whatsapp, Pengarah Khidmat Setiu, Mohd Nor Hamid telah mengeluarkan arahan kepada semua wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) atau individu yang terlibat agar membantu Ops Banjir kali ini.


Beliau mengingatkan semua pihak supaya dapat mengemaskini maklumat banjir dari masa ke masa.

Terdahulu, sebanyak lima buah rumah di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit telah mengalami kerosakan atap bocor dan diterbangkan ribut pada sebelah petang tadi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: