Monday, 3 December 2018

Pusat Khidmat DUN Jadi Pemudah Cara Pohon Pinjaman Niaga

SHARE


KUALA TERENGGANU, 3 Disember – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) membuka permohonan pinjaman usahawan melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri,  Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, peniaga bolehlah mengunjungi petugas dan mengisi borang bagi memohon pinjaman yang disediakan di pusat Khidmat DUN berdekatan.

“Pelbagai bentuk dan kategori pinjaman yang kita tawarkan. Kalau boleh semua sektor kita mahu  bantu. Antaranya sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang sedia ada seperti usahawan pelancongan, usahawan pertanian dan penternakan juga kita akan bantu.

“Jadi permohonan itu bergantung kepada kategori perniagaan seperti kalau mahu menjalankan perniagaan 'foodtruck', YPU boleh menyediakan pinjaman sehingga RM75,000, MARA pula memberi pinjaman sampai RM200,000, ” katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Kemudahan dan Bantuan Keusahawanan, di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini berkata, kerajaan juga berharap setiap pemohon dapat memanfaatkan tawaran yang disediakan supaya tiada usahawan yang tertinggal dan terpinggir daripada bantuan yang disediakan.

Beliau berkata, tiga jenis kategori pinjaman yang disediakan YPU iaitu pinjaman gerai, perniagaan dan gabungan antara keduanya.

“Sepertimana rekod IKS sebelum ini ada (pinjaman) 50 peratus untuk gerai, 50 peratus pinjaman (perniagaan). Kemudian YPU menyediakan 80 peratus kepada usahawan dan 20 peratus usahawan kena cari sendiri,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: