Sunday, 30 December 2018

PIPM Pantau Dan Kawal Kuda Terpilih Secara Percuma

SHARE
Ustaz Wan Sukairi menyerahkan pasport kepada salah seorang pemilik kuda sempena Program Immunisasi, Mikrocip dan Pendaftaran 'PET Passport' (PIPM) kepada kuda terpilih di Pantai Batu Buruk

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU 29 Disember-Persatuan Ekuin Terengganu(PET)dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri melaksanakan Program Immunisasi, Mikrocip dan Pendaftaran 'PET Passport' (PIPM) kepada kuda terpilih di seluruh Terengganu secara percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata mengikut data terkini pendaftaran kuda PET, di Terengganu terdapat 253 ekor dan 112 daripadanya telah mempunyai pasport manakala 141 ekor masih belum mempunyai sebarang rekod pengenalan.

Jelasnya, PIPM kuda menyediakan sistem pengenalan dan pemantauan rasmi bagi semua kuda di Terengganu serta membantu dalam mengawal penyakit berjangkit.

"Melalui program ini, kesemua kuda terpilih akan diberi Immunisasi JE (Japanese Encephalitis), EI(Equine Influenza) & Tetanus secara berperingkat mengikut Zon penempahan kuda.

"Kuda tersebut juga akan diberi "PET Passport" serta mikrocip dan maklumat berkait kuda berkenaan akan dimasukkan ke dalam pengkalan data JPV serta Persatuan Ekuin Terengganu," katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Immunisasi, Mikrocip dan Pendaftaran 'PET Passport' di Pantai Batu Buruk, baru-baru ini.


Tambahnya, terdapat pelbagai kelebihan jika mendaftarkan kuda-kuda yang ada di negeri ini.

"Antaranya, mudah mengesan jika kehilangan kuda sama ada hilang atau sebagainya, membuktikan pemilikan kuda di samping mengumpulkan semua maklumat penting mengenai kuda,"ujarnya lagi.

Menurut Wan Sukairi, 'PET Passport' adalah dokumen rasmi Kerajaan Malaysia di bawah Projek Sistem Pengesahan Haiwan Malaysia (Malaysian Animal Traceability System(MATs).

"Pasport ini dikeluarkan oleh jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) di bawah Peruntukan Akta Haiwan 1953 dan terpakai kepada kucing, anjung, arnab dan juga kuda,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: